Sunday, May 31, 2009

Dato' Salahuddin Omar Guru Yang Tawadhuk


28 Mei 2009 bertempat di Rumah Pahang Hayyu Asyier, takdir Allah menemukan si faqir ini dengan seorang guru sesudah sekian lama berpisah. Objektif utama kedatangan al- faqir untuk berjumpa pegawai Pahang yang tamat perkhidmatan telah memberi bonus dengan menemukan saya dengan Dato Sheikh Hj Salahuddin bin Omar yang dalam perjalanan pulang daripada menunaikan umrah. Pertemuan fillah yang bererti ini memberi kami peluang untuk bertanya khabar seterusnya untuk saya mendapat kata-kata nasihat. Beliau merupakan lulusan pertama Maahad Tahfiz dan Qiraat Shubra beberapa dekad yang lalu. Hari ini beliau merupakan salah seorang pakar rujuk dalam bidang tilawah al-Quran di Malaysia. Namun keistimewaan yang tiada tolok bandingnya adalah kerana sifat tawaduknya dan mudah didekati. Dato' Salahuddin sewaktu era pengajian dulu seangkatan dengan Dato' Sheikh Ismail, Sheikh Muhsin dan Dato Abu Hasan Din. Para Qurra ini sama-sama mendapat asuhan daripada Sheikh Hj Mohd Nor bin Ibrahim Bekas Mufti Kerajaan Kelantan kemudian sama-sama melanjutkan pengajian di Mesir. Walaupun dihantar oleh kerajaan untuk belajar di Maahad Tahfiz Shubra namun Dato dan rakan2 tidak mensia-siakan waktu apabila menyambung dan berjaya menamatkan pengajian Ijazah Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar. Dato' Salahuddin berpengalaman luas sebagai Pengetua Maahad Tahfiz sebelum berhijrah untuk menyebarkan ilmu di Brunei. Kini Dato giat mengajar al-Quran di serata pelosok tanahair dan juga di Singapura. Allahummah fazhu khadiman lil Quran waahlih. Wanafa3ana bi3ulumihi wabarakatih. Amin.

Hari Keluarga KBMK 22 Mei 2009 disambut serba ringkas

Para peserta tergelak bila melihat hasil lukisan mata terpejam


Acara Anak-anak Bawah 7 tahun


DMAK 22 Mei 2009
Dalam kesibukan kerja dan kesibukan anak-anak di Pakistan International School untuk menempuh musim peperiksaan akhir tup..tup dapat surat jemputan sambutan Hari keluarga KBMK yang telah menjadi acara sambutan tahunan di sini. Selalu dan kebiasaannya Hari Keluarga disambut di kawasan peranginan atau di padang permainan yang luas. Namun lain halnya dengan sambutan Hari Keluarga Kedutaan Besar Malaysia Kaherah tahun 2009. Ia disambut di Dewan Malaysia Abbasiah. Mungkin faktor cuaca atau udara atau juga kesempitan waktu memaksa program yang pernah disambut di pantai Ismailiyyah pada tahun lalu diadakan di dalam dewan ARMA saja. Bermula pada jam 5 petang dengan acara sukaneka untuk anak-anak kecil, disusuli dengan acara remaja dan diakhiri dengan acara untuk ibu bapa. Crowd agak memuaskan dengan kehadiran pegawai KBMK, JPMK pegawai2 agensi dan pegawai negeri yang jauh dan dekat termasuk pegawai MARA yang datang dari nun jauh dari kota peranginan Iskandariah. Aktiviti mungkin belum memuaskan hati semua peserta namun sudah cukup memberi keseronokan kepada sikecil dan juga situa yang jarang mendapat peluang bermain begini.Paling mencuit hati ialah acara melukis gambar pasangan masing-masing dalam keadaan mata tertutup.Kalau melukis dengan mata terbuka pun belum tentu menjadi, inikan pula dengan mata tertutup. Walau abagaiamanapun masih ada bakat2 terpendam yang dapat diketengahkan dalam pertandingan tersebut. Kepada yang menggondol hadiah utama tahniah diucapkan. Terima kasih daun keladi tahun depan kita bertanding lagi.

Sunday, May 10, 2009

Sheikh Fathi al-Maliji ...Pemergian Seorang Qari


Bersama Peserta Kursus STTQ di ILIM
Pada bulan Februari 2009 yang lalu dunia tarannum dan pengajian al-Quran di Mesir kehilangan seorang lagi qari yang berpengalaman dengan pemergian Sheikh Fathi al-Maliji ke rahmatullah. Sheikh Fathi boleh dikatakan sebagai pengganti kepada Sheikh Mustafa Ismail bahkan seorang peminat yang fanatik kepada qari agung tersebut. Bukti kecintaannya kepada Sheik Mustafa, beliau telah menulis satu qasidah memuji idolanya dengan mukaddimahnya: إن الله اصطفى مصطفى *** لما رأى قلبا صفى Sheikh Fathi al-Maliji semasa hayatnya banyak memenuhi jemputan di negara-negara Islam. Pada tahun 2007 al-marhum pernah melawat Malaysia di atas undangan JAKIM. Pada tahun tersebut beliau menjadi hakim Tilawah Peringkat Antarabangsa di samping melatih qari dan qariah Malaysia. Rahimallahu syaikhana rahmatan wasi'ah waaskanahu fasiha jannatih. Amin
Sheikh Fathi mempersembahkan bacaan di Kota Bharu Kelantan- Dengan ihsan Ust Wan Hilmi

Friday, May 8, 2009

Terima Kasih TYT Datuk

Amanah Terakhir TYT Dato' kepada pegawai-pegawai

DMAK - 8 Mei 2009 :Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah pada malam tadi menghimpunkan semua pegawai Homebased Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, pegawai agensi dan pegawai kebajikan negeri berserta pasangan bertujuan meraikan perpisahan dan seterusnya mendengar amanat terakhir daripada seorang tokoh pemimpin Melayu yang pernah dilahirkan oleh Universiti al-Azhar asSyarif. Beliau tidak lain dan tidak bukan ialah TYT Datuk Zainal Abidin Ab Kadir Duta Besar Malaysia ke Mesir. Datuk Zainal dijangka menamatkan perkhidmatannya pada 14 Mei 2009 (Khamis) setelah empat tahun mencurah khidmat bakti kepada negara dan kepada pendidikan tinggi khususnya di Mesir.
Sejarah perkhidmatan Datuk sejak tahun 1970 penuh dengan mutiara2 kejayaan dan kecemerlangan. Beliau pernah bertugas sebagai pendidik di Kolej Islam Sultan Alam Shah (sebelumnya dikenali sebagai Kolej Islam Malaya dan ditukar namanya kepada Kolej Islam Kelang). Kemudian Datuk Zainal dilantik sebagai Pengetua di tempat yang sama sebelumnya menjawat pelbagai jawatan utama di Maktab Perguruan Islam, Bahagian Pendidikan Kementerian Pelajaran dan sebagai Ketua Pengarah Pusat Islam (sekarang JAKIM). Sebagai Duta Malaysia di Mesir Datuk yang pernah menjadi mahasiswa Kuliah Bahasa Arab di Azhar selama empat tahun cukup dikenali di kalangan pentadbir Al-Azhar dan pegawai-pegawai tinggi Mesir. Beliau seorang yang berpandangan luas dan bercita-cita tinggi untuk memartabatkan kedudukan orang-orang Melayu khususnya dari kalangan penuntut Agama.
Di antara kejayaan beliau ialah menjalinkan hubungan baik di antara kedutaan dengan pihak universiti-universiti tempatan Mesir, menambahkan bilangan pelajar perubatan, memperkenalkan program Ijazah Ilmu-Ilmu Islam(Program Matrikulasi Al-Azhar) dan terakhir memperkenalkan program khusus kepada pelajar Malaysia dalam bidang Ijazah Perbankan Islam dan Kejuruteraan bersama agensi-agensi kerajaan di Malaysia. Datuk juga sangat prihatin kepada nasib mahasiswa/i Malaysia di Mesir dan sentiasa memberi sokongan kepada persatuan-persatuan mahasiswa. Di bidang penulisan ilmiah Datuk Zainal pernah menghasilkan beberapa buah termasuk buku Adab Arabi yang menjadi teks utama dalam pengajian sastera Arab di seluruh Malaysia satu ketika dulu. Tahniah dan terima kasih Datuk, semoga panjang umur dan diberi kesihatan yang berpanjangan.

Thursday, May 7, 2009

Wahai Siswa/i Melayu Mesir ...Hindarkan Isu ... Berusaha Capai Visi dan Misi


Tertarik bila membaca nasihat Prof Madya Dr Hasan Basri Pengarah Jabatan Pengajian Malaysia Universiti Kaherah melalui emel beliau kepada ALKIS Yahoogroup. Kata-kata berikut adalah respon kepada rungutan-rungutan sesetengah ALKISAN terhadap beberapa isu yang berlaku di Mesir, kata beliau: "Think big ..., we are above the issue. Kita jangan dimainkan dgn isu, dan jangan banyak didorong oleh perasangka dalam tindakan kita.Tambahan pula hidup di mesir ni kalau kita nak layan semua karenah
mcm di bawah ini, kita tak boleh buat kerja lain.
Ana ingin mengajak rakan2 ALKIS supaya bekerja dgn vision dan bukan
diheret oleh isu. Lihat contoh Datuk Duta kita, our ex-Pengetua,
Datuk Zainal Abidin Ab Kadir. Ana betul-betul terkesan dgn cara dia
bekerja dan berusaha utk memartabatkan anak bangsa.
Kalaulah Datuk Zainal tunduk kepada isu, dah lama dia tak buat
kerja-kerja spt urusan penghantaran pelajar Medic, matrik Al Azhar,
dan terbaru program perbank Islam, engineering, pergigian dan
macam-macam lagi
."

Pada pengamatan saya apa yang diutarakan sangat releven dan praktikal dengan suasana kehidupan orang-orang Malaysia di Mesir hari ini. Kawan.. renungkanlah nasihat-nasihat yang matang dan bernas ini mudah-mudahan bermanfaat kepada akal dan hati budi kita.

Wednesday, May 6, 2009

Al-Quran Menyingkap Rahsia Pembinaan Piramid



Piramid atau dalam bahasa Arab disebut هرم (haram)merupakan salah satu keajaiban dunia. Piramid dianggap binaan zaman silam yang tertinggi. Apa yang menarik tentang binaan piramid ialah teori pembinaan. Bagaimana bangunan setinggi itu boleh terbangun sejak ribuan tahun yang lalu. Apakah teknologi yang digunakan untuk menyusun batu bata dengan begitu kemas. Sejak sekian lama pakar dalam pelbagai bidang cuba memberi penafsiran tentang pembinaan piramid namun tiada satu pun yang boleh memuaskan hati pelbagai pihak.
Namun baru-baru ini seorang pengkaji Perancis Professor Joseph Davidovits telah mengemukakan hasil kajian yang sangat menarik. Bagi orang Islam teori baru ini merupakan bukti tentang kebenaran al-Quran yang disebut oleh Allah Azza Wajalla sebagai tiada keraguan padanya (Surah al-Baqarah: 2). Prof. Davidovits berpendapat bahawa asas binaan piramid terdiri daripada tanah, air dan kapur. Tanah yang diambil dari sungai Nil itu dicampurkan dengan bahan-bahan yang lain kemudian dipanaskan pada suhu yang tinggi sehingga membentuk batu-bata yang kuat dan kukuh. Hakikat ini bertepatan dengan ayat al-Quran yang telah menyingkap teknik pembinaan piramid dan binaan-binaan pada zaman Firaun. Firman Allah Taala : (فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَلْ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ) [القصص: 38].
Pengertiannya : Firaun bertitah : "Wahai Haman, Nyalakan api untuk membakar tanah, kemudian binalah untukku binaan yang tinggi agar aku dapat naik melihat tuhan Musa A.S. Sesungguhnya aku berpandangan bahawa dia salah seorang pembohong" (Surah al-Qasas:38) Nah terbukti al-Quran sebagai sumber ilmu telah memberitahu kita sejak 1400 tahun yang lampau. Mengapa masih tercari-cari sedangkan petunjuk ada di depan mata. Atau apakah kita meraguinya.. terserah.
Lebih lanjut : http://www.lakii.com/

Gambar Sekitar Program di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah

Ceramah Aerospace oleh Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor

Ceramah Misi Bantuan Gaza MERCY oleh Datuk Dr Jemilah Mahmood

Ceramah Maal Hijrah oleh Sheikh Usamah Sayyid

Haflah Tilawah di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah

Festival Kebudayaan dan Sukan ASEAN (FEKSAS) 2009 anjuran Jabatan Penuntut Malaysia dan beberapa persatuan mahasiswa baru-baru ini telah menyajikan beberapa program yang menarik. Di antara acara yang mendapat sambutan baik di kalangan pelajar ialah Haflah Tilawah Al-Quran yang disertai oleh peserta-peserta dari Malaysia dan beberapa negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Bangladesh. Walaupun menerima banyak lagi permohonan pihak penganjur terpaksa menghadkan bilangan penyertaan memandangkan waktu yang terhad. Berikut sedikit rakaman bacaan pada majlis tersebut. Nama Qari : Ahmad Yusuf, Negara : Bangladesh

Tuesday, May 5, 2009

Kelesuan Graduan Al- Azhar ... (Sambungan)


Akhir-akhir ini kedengaran suara-suara yang mula mempersoalkan kualiti graduan al-Azhar. Dakwaan dan cakap-cakap begini mungkin ditujukan pada segelintir sahaja daripada ribuan lulusan Azhar. Sedangkan majoriti tidak kurang hebat bahkan lebih baik berbanding lulusan universiti-universiti lain. Di antara kelemahan yang menjadi buah mulut mereka ialah kegagalan lulusan Azhar berkomunikasi bahasa Arab dengan lancar terutama bahasa Arab Fusha, kurang berkemampuan memahami kitab-kitab turath (kitab kuning), kurang soft skills dan bla..bla..bla..
Persoalannya ..benarkah dakwaan tersebut? Wallahua3lam... Walau bagaimanapun pepatah Melayu ada menyebut: Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.
Jika dakwaan tersebut tidak benar alhamdulillah lapanglah dada kita tapi bagaimana pula jika ianya benar-benar berlaku. Kepada individu yang merasakan dakwaan-dakwaan tersebut benar, kita dengar alasan mereka. Ada pelbagai persepsi... contohnya :
1. Foundation bahasa Arab di Malaysia tidak memadai untuk menyambung pengajian di sini.
2. Dia orang kurang fokus kat sini.
3. Sibuk sangat berpersatuan patutlah pelajaran terabai.
4. Orang Melayu ni kurang mahir bercampur ngan orang arab.
5. Kerajaan tak bantu orang belajar agama patutlah dia orang tak boleh pegi.
6. Buat sakit ati je berurusan ngan arab ni. Dok umah lagi best.

to be continued

Lawatan KSU KPT ke Mesir


3 Mei 2009 - Lawatan Datuk Dr. Zulkefli A Hassan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi dan rombongan ke Kaherah dan Mansourah sempena Mesyuarat JWG di antara kerajaan Malaysia dan Mesir. Sebelumnya Datuk KSU telah mengadakan mesyuarat yang sama dengan kerajaan Yemen di Sanaa. Tempoh kedatangan beliau yang amat singkat ke sini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meninjau pelbagai masalah pelajar terutamanya pelajar perubatan. Pada 3 Mei yang lepas beliau dan rombongan telah mengadakan lawatan ke Mansoura University dan mengadakan perbincangan dengan pihak pentadbiran universiti tersebut. beliau kemudiannya mengadakan sesi dialog bersama pelajar-pelajar Perubatan Mansoura untuk mengetahui secara "first hand" situasi pelajar Malaysia di sana. Khabarnya seramai 300 pelajar perubatan hadir dalam pertemuan tersebut. Syabas Datuk !

Pelancaran Persona di Egypt (berita terlewat)

24 Nov 2008 Proton Malaysia dengan kerjasama Ezz Alarab telah melancarkan kereta nasional Malaysia Proton Persona di Egypt. Pelancaran bertempat di Panorama Piramid Giza bermula pukul 9.30 malam. Di antara jemputan yang hadir ialah wakil syarikat jualan kereta nasional Malaysia di sekitar negara Timur Tengah. Turut dijemput pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia Kaherah dan agensi-agensi kerajaan Malaysia.

Keberanian vs Kebijaksanaan


Salam ukhuwwah Islamiah,

Keberanian dan kebijaksanaan adalah dua nilai murni yang harus ada pada setiap mukmin. Seseorang yang berani perlu bijak dalam tindak tanduknya agar tindakannya tidak dilihat sebagai tindakan semberono atau membuta tuli. Keberanian yang tidak dikawal oleh kebijaksanaan akhirnya mungkin memakan diri sendiri. Sementara tindakan yang dipandu oleh kebijaksanaan atau diplomasi kadang kala digambarkan sebagai pengecut, lemah jiwa dan takut menghadapi cabaran. Senario ini seringkali terjadi dalam kehidupan seharian kita atau lebih-lagi dalam kehidupan para pejuang agama.

Persoalannya:

Sejauh manakah sikap berdiplomasi mencerminkan kelemahan jiwa ?

Sejauh manakah tindakan secara kekerasan lahir dari keberanian ?

Bagaimanakah memilih tindakan yang bijak dan berani dalam hal yang bertentangan dengan prinsip ?