Wednesday, December 16, 2009

Bertemu Sahabat Lama & Program Ziarah ke Bukit Ajyad

Tn Guru Hj Yusof di tengah, di kiri beliau ialah Ust Mohd Razif dan Hj.Ilias. Di sebelah kanan, Hj Rubaie dan tuan blog.

Takdir Allah menemukan saya dengan Ust Mohd Razif Mohd Aris, seorang sahabat lama sewaktu berkhidmat di Johor dulu. Beliau yang diiringi oleh empat lagi jemaah haji menaiki bas yang sama sewaktu bergerak keluar daripada Muzdalifah pada malam hari Nahar. Ust Mohd Razif merupakan anak saudara kepada Allahyarham Hj Saman murid tua kepada Tuan Guru Hj Md Lif Guru Pondok di Parit Perupok Muar Johor. Diberitakan bahawa Hj Mad Lif berguru kepada Tok Kenali tokoh ulama tersohor di Kelantan.

Kesempatan bersama Ust Mohd Razif diisi dengan diskusi ilmu dan kunjungan ke rumah tuan guru dari Tanah Jawi yang masih bertahan di Mekah. Salah seorang yang sempat kami kunjungi ialah Tuan Guru Hj Mohamad Yusof bin Awang Paku. Beliau berhijrah ke Mekah pada tahun 1970 setelah menamatkan pengajian daripada Tuan Guru Hj Ismail Kelubi di Kg Belukar Luas dan Tuan Guru Hj Ismail bin Ahmad Samsala. Di Mekah beliau mendalami ilmu di Madrasah Darul Ulum di samping bertelaah di Masjidil Haram. Dalam kunjungan kami Tuan Guru Hj Yusof memberikan kami layanan yang mesra dan tidak lokek berkongsi ilmu dan maklumat. Allahummahfadhhu.

Ibadat Haji .. Ujian Kekuatan Rohani dan Jasmani

21 Nov 2009-Saat ketibaan di Jeddah sebelum ke Mekah

Alhamdulillah...setelah hampir 23 hari berada di tanah haram, Makkah AlMukarramah & Madinah AlMunawwarah,pada jam 12.30 tgh hari 14 Disember 2009, saya, isteri dan pengasuh selamat tiba di Zamalek. Sebaik keluar dari pesawat Saudi Airlines SV301 terasa seperti baru pertama kali tiba di bumi Mesir. Cuaca sejuk di Kaherah memberi sedikit kejutan kepada badan yang lemah. Kepenatan yang dilalui sepanjang perjalanan haji kini baru terasa apabila melabuhkan badan di atas tilam di rumah.

9 Zulhijjah 1430 - Berada dalam kurungan Maktab 100 di Arafah sebelum menaiki bas ke Muzdalifah

Namun, setinggi syukur ke hadrat Ilahi, kerana selama berada di Mekah saya diberiNya kesihatan untuk memenuhi tuntutan ibadat tanpa gangguan. Benar, ibadat haji memerlukan kemampuan mental, fizikal dan rohani yang tertinggi, ianya kemuncak pengabdian kepada Allah Azza Wajalla. Tanpa persediaan yang mantap dan rapi, adalah sukar untuk menghadapi pelbagai bentuk halangan dan rintangan, dan menolak pelbagai daya tarikan dalam tugas menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Maha Suci Allah yang menjanjikan ganjaran yang setinggi-tingginya kepada haji yang mabrur.



Selesai Tahallul