Sunday, October 31, 2010

Tawaran ke SMA MAIWP

Salam,

Tuan,

Dimaklumkan bahawa proses pengambilan pelajar tingkatan satu bagi sesi persekolahan tahun 2011 di Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA-MAIWP) telah bermula. Borang permohonan hanya boleh diambil sendiri di Bahagian Pelajaran (Aras 3) atau di SMA-MAIWP bermula 8 November 2010.

2. Sehubungan itu, pihak Bahagian memohon agar pihak tuan membuat hebahan di SRA di bawah seliaan tuan.

3. Bersama ini disertakan lampiran berkaitan utk tindakan tuan selanjutnya.

Pegawai Penyelaras: En. Zainuddin bin Ab Rahman
Pembantu Penyelaras: 1) En. Hermansyah bin Arshad
2) Cik Siti Alia binti Muhamd Nasir


Sekian, harap maklum dan terima kasih.

Wassalam.

Wednesday, October 27, 2010

Bengkel Seerah Untuk Guru SRA




26 dan 27 Oktober: Sebuah bengkel kemahiran P&P mata pelajaran Seerah Nabawiyyah untuk guru-guru SRA telah diadakan di Masjid Wilayah. Bengkel tersebut yang dikendalikan oleh Ustaz Abu Syam, pensyarah IPBA banyak memberi input kepada guru-guru untuk memantapkan lagi pengajaran mp yang dianggap "killer subject" tersebut.Daripada pemerhatian terhadap sesi pembentangan, saya merumuskan bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk membangunkan mutu pencapaian dan penghayatan subjek tersebut ke arah yang lebih baik. Sekian

Monday, October 25, 2010





Artikel ini saya pastekan daripada emel yang sampai ke inbox saya semoga memberi manfaat.


Tembok Yakjuj Makjuj Sudah Ditemui?

SIAPA SEBENARNYA ZULKARNAIN?

Sebenarnya pendapat popular bahawa Zulkarnain adalah Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) telah dinafikan oleh ramai sarjana Islam kerana setelah dikaji latarbelakang Iskandar Zulkarnain, ternyata bahawa beliau bukanlah seorang yang berperibadi mulia sebagaimana Zulkarnain yang diberitakan di dalam Al-Qur'an. Atas sebab itu sarjana yang kemudian telah mengkaji lagi dan mencari siapakah sebenarnya Zulkarnain itu.

Wahab bin Munabbih berpendapat bahawa Zulkarnain adalah seorang raja Yaman bernama As-Sha'ab Zulkarnain bin Al-Harith Zu Murathid bin Amru Al-Hammal Zu Manah bin Aad Zu Syidad bin Emir bin Al-Milthat bin Saksak bin Wail bin Himyar bin Saba' bin Yusyiab bin Yi'rab bin Qahtan bin Hud a.s. bin Emir bin Syalikh bin Arfafksyad bin Sam bin Nuh a.s. Menarik juga kisah As-Sha'ab Zulkarnain ini kerana baginda ini dikatakan hidup di zaman Nabi Musa a.s. dan satu lagi perkara menarik ialah bahawa Nabi Khidir a.s. adalah menteri kanan kepada As-Sha'ab dan Khidir a.s. telah mengikuti baginda bersama-sama dalam siri pengembaraan baginda untuk menakluki negeri-negeri lain. Malah Khidir a.s. dikatakan telah menghilangkan diri selepas As-Sha'ab Zulkarnain mangkat.


Jika mahu dicatat satu persatu berkaitan tiga raja yang dikaitkan dengan Zulkarnain dalam Al-Qur'an itu akan jadi amat panjanglah artikel ini. Memadailah untuk saya catat di sini pendapat Muhammad Khair Ramadhan Yusuf yang telah mengkaji dengan terperinci mengenai raja-raja berkaitan. Beliau berpendapat bahawa adalah lebih baik untuk tidak mengaitkan salah satu dari tiga raja ini sebagai Zulkarnain yang disebut di dalam Al-Qur'an. Adalah lebih baik bagi kita menganggap bahawa Zulkarnain yang di sebut di dalam Al-Qur'an itu sebagai seorang raja agung yang beriman, yang berperibadi mulia. Saya sendiri pun bersetuju dengan beliau, kerana pendapat-pendapat ulama berkaitan perkara tersebut adalah sekadar pendapat dan belum lagi mencapai tahap pembuktian yang benar-benar kukuh. Mungkin pada satu hari nanti ulama Islam akan menemui bukti siapakah Zulkarnain yang dimaksudkan di dalam Al-Qur'an. InsyaAllah.

Misteri Yakjuj dan Makjuj

Kisah Yakjuj dan Makjuj disebut dalam 2 surah al-Quran, iaitu surah al-Kahfi dan surah al-Anbia. Dalam surah al-Kahfi Allah menceritakan Yakjuj dan Makjuj diperangi Zulkarnain.

Dalam agama Kristian, Injil turut disebut tentang Yakjuj, Makjuj dan dajal dan masing-masing disebut Yagog, Magog dan Anti Christ.

Dikatakan setiap kali cuba keluar ke muka bumi, Mereka akan jatuh kembali ke dalam bumi disebabkan bunyi laungan azan yang masih bergema di seluruh bumi ini. Pabila tiba hari dimana tiada azan lagi dilaungkan, maka ia akan keluar.

Motif: keluar dan akan memakan apa sahaja yang ada dihadapannya (rumah, pokok, binatang, manusia). Akan menjadi pembantu kepada dajjal.

· Ketika kemunculannya, mereka dikatakan akan menuju ke sebuah tasik di Palestin dan akan minum air tasik itu hingga kering
· Memiliki zuriat yang ramai dan dikatakan tidak akan mati sehingga melahirkan 1,000 zuriat.
· Tiada siapa mampu menewaskan mereka dan hanya binasa dengan kekuasaan Allah
· Muncul selepas turunnya Nabi Isa AS dan dajal
· Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyatakan kebimbangannya apabila pada zaman baginda, Yakjuj dan Makjuj dikatakan sudah berjaya menebuk benteng Zulkarnain menjadi sebesar bulatan ibu jari dan jari telunjuk

Apakah jenis kerosakan yang dilakukan oleh Yakjuj dan Makjuj? Sesetengah ulama berpendapat bahawa mereka ini melakukan kerosakan dan keganasan dengan menerkam ke atas mangsanya seperti binatang yang merangkak, liar dan ganas. Mereka juga memakan ular, kala dan semua yang bernyawa. Al-Kalbi berpendapat: "Mereka ini keluar ke bumi pada musim bunga dan memakan semua yang dijumpainya sama ada yang hijau atau yang kering. Mereka juga membawanya masuk ke dalam bumi. Dan sesiapa yang berjumpa dengan mereka nescaya akan disiksa dan dibunuh." Sesetengah ulama lain berpendapat bahawa mereka memakan manusia dan merosakkan apa yang ada di bumi setelah mereka keluar.

Bangsa ini dikurung oleh Iskandar Zulkarnain dengan tembok besi. Setiap hari mereka akan cuba mengorek kurungan itu, tetapi setiap kali waktu azan dan azan dilaungkan, tembok itu akan tertutup kembali. Walaubagaimanapun mereka tidak berputus asa dan terus mengorek sampai hari kiamat di mana mereka muncul.

Disebalik pembinaan kota besar hasil kemajuan pembangunan dan kemodenan yang melanda hampir seluruh pelosok dunia hari ini, masih ada kawasan rahsia di muka bumi ini yang menyimpan ribuan makhluk misteri. Hingga kini, penerokaan demi penerokaan di seluruh kawasan bumi masih belum menemui wilayah asing itu sekali gus menyebabkan kemujudan makhluk terbabit tidak akan dikenal pasti pengkaji atau manusia umumnya.

Bagaimanapun, kemujudan makhluk itu adalah sahih dan suatu hari nanti, mereka akan muncul juga di hadapan manusia. Akan tetapi, ketika makhluk itu muncul, sudah terlambat untuk manusia berbuat apa apa. Tiada lagi kajian mengenai sejarah mewujudan atau penyelidikan sains dilakukan terhadap makhluk itu seperti penemuan artifak atau spesis baru ketika ini kerana waktu munculnya makhluk dikenali Yakjuj dan Makjuj itu, dunia sudah terlalu hampir dengan kiamat!

Sejak dikurung ribuan tahun lalu, kemujudan dan lokasi ‘pusat tahanan’ Yakjuj dan Makjuj masih menjadi misteri kepada manusia. Bagaimanapun, kemujudan dua makhluk itu adalah pasti lantaran ia dinyatakan dalam al-Quran serta tergolong dalam perkara ghaib yang wajib diimana manusia menerusi tanda besar berlakunya kiamat.

Cerita mengenai sejarah Yakjuj dan Makjuj tertera dalam al-Quran menerusi surah al-Kahfi, ayat ke 92 hingga 98 manakala kebangkitan dinyatakan dalam surah an-Anbiyaa’, ayat ke96 dan 97,” katanya.

Allah berfirman menerusi ayat surah al-Kahfi itu:

“Kemudian dia (Zulkarnain) menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia sampai antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua dua gunung itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan.

“Mereka berkata:‘Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?’

“Zulkarnain berkata: ‘Apa yang dikuasakan Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (Manusia dan peralatan), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka. Berilah aku potongan potongan besi’

“Hingga apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua dua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: ‘Tiuplah (api itu)’. Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti ) api, dia pun berkata: ‘Berilah aku tembaga (yang mendidih) akan aku tunangkan ke atas besi panas itu.

“Maka mereka tidak dapat mendakinya dan mereka tidak dapat melubanginya. Zulkarnain berkata: ‘Ini (dinding) adalah rahmat daripada Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku (kiamat), Dia akan menjadikannya hancur luluh dan janji Tuhanku itu adalah benar.’”

Dalam ayat surah an-Anbiyaa’ pula Allah berfirman:
“ Hingga apabila dibukakan (tembok) Yakjuj dan Makjuj; dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi. Dan sudah dekatlah kedatangan janji yang benar (kiamat) maka tiba tiba terbelahlah mata orang kafir.(Mereka berkata): Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian mengenai ini, bahkan kami adalah orang yang zalim’.”

Ternyata yang dimaksud dengan kalimat " mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi" ialah bahwa mereka akan menguasai seluruh dunia.

Menilik cara Al-Qur'an menerangkan Ya'juj wa-Ma'juj dalam 2 tempat tersebut, terang sekali bahwa akan tiba saatnya, Ya'juj wa-Ma'juj mengalahkan sekalian bangsa di dunia.

Dan terang pula bahwa pada waktu Al-Qur'an diturunkan, Yakjuj dan Makjuj sudah ada, tetapi gerak-geri mereka masih tetap terkekang sampai saat tertentu, yang sesudah itu, mereka akan terlepas untuk menguasai seluruh dunia.Kebanyakan ulama menyatakan yang bangsa itu terus wujud sehingga kini tetapi dipisahkan daripada dunia manusia oleh Allah SWT menerusi tembuk dibina Zulkarnain itu. Katanya, tugas bangsa itu setiap hari sejak ribuan tahun lalu adalah mengorek tembok itu untuk tembus ke dunia manusia tetapi Allah masih menghalang mereka dengan kembali meneguhkan benteng berkenaan sehinggalah hampir hari kiamat.

Yakjuj dan Makjuj juga muncul selepas kematian Dajal yang dibunuh Nabi Isa AS dan bangsa itu akan mendatangkan kerosakan besar di muka bumi. Kekuatan mereka dikatakan luar biasa dan terlalu hebat sehingga tiada siapa yang mampu menewaskan kumpulan itu.

DI MANAKAH TEMBOK ZULKARNAIN?

Persoalan ini pun telah mendapat perhatian dari para sarjana Islam. Ramai yang telah mengkajinya dengan terperinci. Malah ada ekspedisi-ekspedisi silam yang telah dilakukan untuk mencari di mana letaknya tembok tersebut. Setakat ini seolah-olah terdapat satu persetujuan bahawa lokasi Tembok Zulkarnain sudah ditemui.

Kawasan yang dipercayai terletaknya tembok Zulkarnain berada di Utara Georgia, selatan Rusia, iaitu di banjaran Gunung Caucasus (bahagian tengah Greater Caucasus Mountains), iaitu di kaki Gunung Kazbek. Kawasan ini dikenali sebagai Lorong Dariel atau Daryal (Dariel Pass, ketinggiannya ialah 3,950 kaki atau 1,204 meter dari aras laut). Kedudukannya berhampiran dengan Sungai Terek. Terdapat satu jalan tentera Georgia yang merentasi lorong ini (ini baru saja dibina oleh Rusia tahun 1850'an) dan sejak zaman silam ianya terkenal sebagai lorong yang dilalui untuk tujuan menjajah. Pada zaman silam, Lorong Dariel ini juga dikenali sebagai Gerbang Alan, atau Gerbang Caucasia, atau Gerbang Iberia.

Al-Marhum Abul Kalam Azad pun menyatakan begitu. Beliau mengakui bahawa di Georgia terdapat satu timbunan besar tembok yang dibuat daripada besi bercampur tembaga di Bukit Qawqaz (Caucasian Mountain) di suatu kawasan yang sempit iaitu antara dua bukit Darial (Dariel). Keadaan bukit itu curam memanjang dari Laut Hitam hingga Laut Qazwain. Ianya menghubungkan antara dua laut ini. Panjangnya 1,200 kilometer. Bukit Darial ini secara umumnya masih tidak terusik, masih teguh, mempunyai bentuk berlapis-lapis. Di sana ada suatu timbunan yang tinggi daripada besi tulen bercampur tembaga tulen di Tembok Darial. Ia adalah merupakan suatu hasil kerja menyumbat satu lubang yang ada di situ. Penduduk-penduduk tempatan takut untuk mengusik atau mengubahnya. Hanya perubahan semulajadi saja yang berlaku di situ. Terdapat proses penerokaan tanah berlaku di sebelah-menyebelah tembok itu, tapi tidak menjejaskan tembok itu sendiri. Ini menyebabkan wujudnya ruang-ruang kosong antara batu-batu bukit dan Tembok Zulkarnain, yang masih kukuh hingga sekarang. Nampaknya manusia di atas muka bumi pun tidak mampu untuk melubanginya mahupun mendakinya.

Banjaran Gunung Caucasia merupakan satu rekahan (fracture, sebagaimana "geological fault-line"), dan ia adalah pembahagi bukan saja dari sudut geografi dan budaya etnik, malah juga dari sudut geopolitik. Terdapatnya kaum yang ganas dan membuat kerosakan (bangsa Monggol) di sebelah utara menyebabkan Tembok Besar China telah dibina, begitu juga Tembok Hadrian (Roman Limes). Ada yang berpendapat bahawa Gerbang Caucasia dibina untuk melindungi Timur Tengah (dari kaum nomad bangsa Eurasia).

Gerbang Caucasia juga sering disebut sebagai "Pillars, Stronghold" atau "Iron Gate of Alexander The Great" oleh penulis-penulis klasik. Barat juga menganggap bahawa Tembok Zulkarnain (Gerbang Caucasia) ini dibina untuk mengepung Gog dan Magog dari melakukan keganasan dan kerosakan yang lebih banyak. Pada hari ini, lambang Georgia (matahari, bulan dan lima bintang) kononnya adalah sempena lambang Iskandar (Zulkarnain) .

Kawasan pergunungan Caucasus ini agak unik. Di sini terdapat 62 bahasa yang dituturkan oleh 5 keluarga besar, budayanya juga berbagai. Kawasan ini juga terkenal sebagai kawasan yang selalu berlaku peperangan antara kaum, pertumpahan darah dan peperangan kolonial sejak zaman berzaman. Lorong Dariel (tempat Tembok Zulkarnain) berada di kaki Gunung Kazbek (5033m/16,800') dan Elbrus (5642m/18,800'). Kedua-dua gunung ini adalah gunung berapi yang aktif tapi sudah tidak meletup sejak 500 tahun lampau, menyebabkan penduduk tempatan menganggap ianya gunung berapi yang sudah mati.

Saya telah membuat beberapa siri carian di Internet, dan telah terjumpa antara bukti-bukti bahawa penduduk silam di kawasan ini mempunyai teknologi yang tinggi. Di kawasan Caucasia ini banyak ditemui batu-batu besar yang disusun (megaliths) yang dipercayai merupakan kepuk kubur (dolmens). Batu-batu ini telah dipotong rapi (high-precision) dan di batu tengahnya telah ditebuk satu lubang bulat. Kehalusan ukiran pada batu adalah amat tinggi, dianggap sehalus kemahiran pengukir permata (jeweller).

KESIMPULAN

Kaum Yakjuj dan Makjuj ini mempunyai teknologi yang tinggi (mungkin yang diwarisi dari kaum yang telah musnah ketika taufan Nuh a.s.) dan masih membangunkan teknologinya hingga saat ini. Mengenai di manakah Yakjuj dan Makjuj sekarang ini, saya berpendapat bahawa mereka ini terkepung di bawah bumi, bukan di atas bumi dan bukan pula di dimensi yang lain. Bolehlah diputuskan bahawa mereka ini adalah anak-anak Adam dan ciri-ciri mereka adalah sebagaimana manusia di atas muka bumi juga. Para sarjana Islam telah menolak kemungkinan bahawa mereka ini berupa seperti binatang atau berbentuk ganjil dan hodoh.

Satu perkara yang elok dicatat ialah ada sarjana berpendapat bahawa pada akhir zaman nanti kaum Yakjuj dan Makjuj ini keluar dari banyak tempat, bukan hanya dari Tembok Zulkarnain yang telah ditebuk. Keadaan mereka keluar itu ialah secara pantas, berpusu-pusu atau berlumba-lumba, iaitu suatu keadaan keluar dari tempat yang sempit. Saya berpendapat bahawa pada akhir zaman mereka ini akan meluru keluar dari tempat yang tinggi mungkin bermaksud bahawa mereka keluar dari kawasan pergunungan, bukan saja dari pergunungan Caucasus (Tembok Zulkarnain) tapi kawasan-kawasan tinggi yang lain seperti Himalaya. Kemungkinan mereka juga menebuk bekas kawah gunung berapi yang telah mati juga tidak mustahil.Hanya Allah Yang Maha Mengetahui bagaimanakah keadaan Yakjuj Makjuj kini dan ketika ia keluar nanti.

Berita kaum Yakjuj dan Makjuj dan berita Zulkarnain wajib dipercayai oleh seluruh umat Islam kerana ianya secara jelas termaktub dalam Al-Qur'an. Kerana itu jugalah ulama Islam bukan saja telah meneliti berbagai sumber hadis, malah telah menghujahkan pendapat mereka dengan panjang lebar. Kajian demi kajian yang telah dilakukan sebelumnya telah dikaji semula oleh sarjana yang kemudian dengan teliti sekali. Begitulah sikap pengkaji Muslim sejak dari zaman kegemilangan Islam lagi. Sepatutnya sikap ini dapat diteruskan oleh sarjana Muslim zaman ini dan seterusnya zaman berzaman. Walaupun identiti Zulkarnain dan juga identiti Yakjuj dan Makjuj belum lagi bertemu kata putus, sebenarnya usaha-usaha para pengkaji mempunyai hikmah yang amat besar. Mereka telah menyingkap kembali sejarah kegemilangan banyak empayar silam dan ini telah didokumenkan untuk tatapan generasi kemudian. Pada hemat saya, kisah Yakjuj Makjuj dan Zulkarnain dalam Al-Qur'an adalah salah satu dari mukjizat Al-Qur'an itu sendiri. Ianya satu berita misteri besar yang mendorong banyak pengkaji untuk melakukan kajian demi kajian, secara berterusan zaman-berzaman selagi jawapan yang pasti belum ditemui. Umat Islam perlu memperhatikan, menyelidik dan mengkaji untuk menjadi umat yang hebat dan kaya dengan ilmu pengetahuan. Dan jangan lupa, itu semua pun adalah atas rahmat Allah Yang Maha Bijaksana.

Semoga Allah menambahkan ilmuNya kepada kita semua. InsyaAllah.

Sunday, October 24, 2010

Pendaftaran Masuk ke SMA MAIWP


Makluman kepada yang berminat untuk memohon tempat di Tingkatan 1 SMA MAIWP sesi 2011 maklumat lanjut boleh diperolehi mulai 1 November 2010. Antara syarat kelayakan masuk :

5A UPSR
8A UPSRA
Boleh menulis Jawi
Boleh membaca Al-quran
Lulus ujian yang ditetapkan

Harap maklum.

Sunday, October 17, 2010

Silaturrahim Ex -Mesir Siri II


Selepas siri I di Presint 14, kali ini di rumah En Fauzi Said Ex S/U 2 KBMK Presint 11 Putrajaya. Antara yang hadir:Ustaz Hj. Yazit Ex-Attache Akademik, Hjh Habibah,Ex-Attache Khas Iskandariah dan Al-faqir bersama keluarga masing. Turut serta keluarga Ust Hj Amri Ex-Kebajikan dan anak-anak Tn Hj Shaharuddin.

Thursday, October 14, 2010

Ceramah Islamophobia - Carl W. Ernst


Pagi tadi saya hadir ke Muzium Seni Asia UM untuk mendengar ceramah "Salah Faham Tentang Islam di USA. Ceramah disampaikan oleh Prof. Dr. Carl W. Ernst daripada UNC dan beliau merupakan pengkaji dalam pengajian Islam di Barat dan negara-negara Asia. Kata beliau: "Ketakutan terhadap Islam yang dialami oleh masyarakat Amerika Syarikat disebabkan kejahilan mereka tentang Islam itu sendiri". Ini terbukti apabila kajian yang dijalankan menunjukkan pengetahuan tentang agama lain di kalangan rakyat negara tersebut sangat terhad. Di samping pengaruh golongan anti-Islam di negara itu, filem2 Hollywood juga sangat berperanan dalam menyebarkan salah faham dan pembohongan terhadap kebenaran Islam. Ada satu cerita bagaimana mereka menyebarkan gambar yang didakwa majlis perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan dengan lelaki dewasa. Apabila diselidik rupa-rupanya gambar tersebut adalah function di sebuah sekolah. Beliau juga mempersoalkan kenapa hingga hari ini belum ada sebuah terjemahan lengkap Al-quran di dalam bahasa Inggeris yang diusahakan oleh penutur jati bahasa tersebut. Menurut beliau terjemahan yang ada hari ini selain diusahakan oleh bukan penutur jati bahasa Inggeris, penulisannya juga terikut-ikut gaya bahasa yang sudah tidak popular pada hari ini seperti penggunaan "thou dan thee".

Sunday, October 10, 2010

Ujian UPSRA bermula



Hari ini UPSRA mula berjalan di seluruh Wilayah Persekutuan sehingga 14 Oktober 2010. Kepada murid-murid didoakan selamat menjawab peperiksaan. Pastikan menjawab dengan tenang. Kepada guru-guru pengawas dan pegawai-pegawai pemantau "selamat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi".

Wednesday, October 6, 2010

Bengkel Kemahiran Mengajar Guru SRA (Kontrak) JAWI



Selama dua hari 5&6 Oktober 2010 Bah Pelajaran JAWI mengadakan Bengkel Penyediaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) untuk subjek Bahasa Arab khusus untuk guru-guru kontrak di bawah JAWI. Program ini merupakan siri pertama daripada lima siri bengkel dan bakal melibatkan semua mata pelajaran yang diajar di SRA. Bagi sesi ini Unit Kurikulum telah menjemput Dr Jefridin Pilus daripada IPIS Bangi. Selain dari itu perjalanan bengkel ini juga turut dibantu oleh Guru-Guru Pakar SRA JAWI. Tahniah.

Monday, October 4, 2010

Tawaran Guru KAFA Wilayah Persekutuan



Makluman kepada individu-indidvidu yang berminat menjawat jawatan guru KAFA, sila buat permohonan dengan segera. Borang permohonan boleh didapati di Unit Pengurusan KAFA atau boleh dimuat turun dari laman web JAWI.

Sekian, harap maklum.