Friday, May 8, 2009

Terima Kasih TYT Datuk

Amanah Terakhir TYT Dato' kepada pegawai-pegawai

DMAK - 8 Mei 2009 :Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah pada malam tadi menghimpunkan semua pegawai Homebased Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, pegawai agensi dan pegawai kebajikan negeri berserta pasangan bertujuan meraikan perpisahan dan seterusnya mendengar amanat terakhir daripada seorang tokoh pemimpin Melayu yang pernah dilahirkan oleh Universiti al-Azhar asSyarif. Beliau tidak lain dan tidak bukan ialah TYT Datuk Zainal Abidin Ab Kadir Duta Besar Malaysia ke Mesir. Datuk Zainal dijangka menamatkan perkhidmatannya pada 14 Mei 2009 (Khamis) setelah empat tahun mencurah khidmat bakti kepada negara dan kepada pendidikan tinggi khususnya di Mesir.
Sejarah perkhidmatan Datuk sejak tahun 1970 penuh dengan mutiara2 kejayaan dan kecemerlangan. Beliau pernah bertugas sebagai pendidik di Kolej Islam Sultan Alam Shah (sebelumnya dikenali sebagai Kolej Islam Malaya dan ditukar namanya kepada Kolej Islam Kelang). Kemudian Datuk Zainal dilantik sebagai Pengetua di tempat yang sama sebelumnya menjawat pelbagai jawatan utama di Maktab Perguruan Islam, Bahagian Pendidikan Kementerian Pelajaran dan sebagai Ketua Pengarah Pusat Islam (sekarang JAKIM). Sebagai Duta Malaysia di Mesir Datuk yang pernah menjadi mahasiswa Kuliah Bahasa Arab di Azhar selama empat tahun cukup dikenali di kalangan pentadbir Al-Azhar dan pegawai-pegawai tinggi Mesir. Beliau seorang yang berpandangan luas dan bercita-cita tinggi untuk memartabatkan kedudukan orang-orang Melayu khususnya dari kalangan penuntut Agama.
Di antara kejayaan beliau ialah menjalinkan hubungan baik di antara kedutaan dengan pihak universiti-universiti tempatan Mesir, menambahkan bilangan pelajar perubatan, memperkenalkan program Ijazah Ilmu-Ilmu Islam(Program Matrikulasi Al-Azhar) dan terakhir memperkenalkan program khusus kepada pelajar Malaysia dalam bidang Ijazah Perbankan Islam dan Kejuruteraan bersama agensi-agensi kerajaan di Malaysia. Datuk juga sangat prihatin kepada nasib mahasiswa/i Malaysia di Mesir dan sentiasa memberi sokongan kepada persatuan-persatuan mahasiswa. Di bidang penulisan ilmiah Datuk Zainal pernah menghasilkan beberapa buah termasuk buku Adab Arabi yang menjadi teks utama dalam pengajian sastera Arab di seluruh Malaysia satu ketika dulu. Tahniah dan terima kasih Datuk, semoga panjang umur dan diberi kesihatan yang berpanjangan.

No comments: