Tuesday, September 7, 2010

Persoalan Semasa

Dua artikel yang saya nukil daripada blog Ustaz Aizam untuk rujukan

SEMBAHLAH ALLAH YANG MAHA HIDUP...

"من كان يعبد رمضان فإن رمضان قد فات ومن كان يعبد الله فإن الله حي لا يموت..."


“Barangsiapa yang menyembah Ramadhan, maka Ramadhan telah hilang, namun barangsiapa yang menyembah Allah maka Allah itu Maha Hidup dan tidak mati…”


Itulah sebaik-baik ibarat yang penulis dapat ungkapkan di saat kita berada beberapa detik sahaja lagi sebelum kita meninggalkan Ramadhan yang penuh keberkatan. Sesungguhnya Ramadhan itu hanyalah satu bulan daripada dua belas bulan yang diciptakan oleh Allah SWT. Ia adalah satu tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT dalam penciptaan-Nya, seperti jua Allah SWT mencipta langit, bumi, bulan dan matahari, kesemuanya adalah sebagai memperlihatkan kekuasaan dan keagungan-Nya. Allah SWT tidak sekali-kali menyuruh kita memuja dan menyembah tanda-tanda itu, sebaliknya Dia-lah yang sebenar-benarnya berhak disembah.


Tidaklah Ramadhan melainkan hanya satu bulan yang diangkat Allah SWT sebagai penghulu kepada segala bulan. Di dalamnya dijanjikan pelbagai kelebihan dan ganjaran yang tidak ternilai. Kalau bukan kerana Allah SWT, tiadalah kelebihan dan ganjaran di dalamnya. Kalau bukan kerana Allah, tiadalah kefardhuan puasa di dalamnya. Kalau bukan kerana Allah SWT tiadalah tarawih. Kalau bukan kerana Allah jua tiadalah zakat fitrah. Malah kalau bukan kerana Allah SWT tiadalah apa yang dinamakan Ramadhan. Itulah hakikat sebenar Ramadhan. Hanya makhluk daripada makhluk-makhluk Allah SWT.


Justeru, apakah sebenar yang anda sembah? Adakah Ramadhan atau Tuhan Ramadhan? Jika Tuhan Ramadhan yang disembah, mengapa hanya hadir ke masjid ketika Ramadhan? Mengapa pusat-pusat maksiat hanya ditutup @ separa tutup ketika Ramadhan? Mengapa hanya menutup aurat penuh @ separa penuh ketika Ramadhan? Mengapa hanya menyambut Merdeka tanpa hiburan melampau ketika Ramadhan? Mengapa hanya membaca al-Qur’an ketika Ramadhan? Mengapa hanya tidak menikam ekor @ berjudi ketika Ramadhan? Mengapa hanya tunaikan lima waktu ketika Ramadhan? Mengapa hanya bersedekah ketika Ramadhan? Mengapa hanya menghentikan berlakon ‘adegan panas’ ketika Ramadhan? Dan seribu mengapa lagi…


Akhirnya, Syawwal jualah yang menjadi mangsa rakus manusia. Syawwal menjadi bulan untuk dilampiaskan segala hawa nafsu yang terkongkong dek kerana Ramadhan. Allah SWT seolah-olah luput pada sebelas bulan yang mendatang. Hilang segala ketaatan dan menjadi ‘halal’ segala larangan. Hanya kerana Ramadhan itu telah pergi.


Insaflah wahai hamba Allah, sesungguhnya tidak ada satu bulan pun yang bukan bulan ibadah. Ramadhan bulan ibadah. Syawwal jua bulan ibadah. Kerana itulah Syawwal disambut dengan takbir, tahlil dan tahmid sebagai tanda ibadah yang mutlak hanya kepada-Nya. Lambang kehinaan, ketundukan dan perhambaan kita hanya kepada-Nya, Rabbul Jalil, Allah SWT. Bukan bulan itu yang kita agungkan tetapi Allah SWT! Bukan masa dan tempat yang kita sembah tetapi Allah SWT!


Allah SWT itu ada di mana-mana. Tak mengira saat dan tempat. Begitu jualah perintah dan larangannya ada di mana-mana tanpa mengira saat dan tempat. Istiqamahlah. Konsistenlah. Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita di bulan Ramadhan dan mengurniakan kita istiqamah. TAQABALLAHU TO’ATANA WA TO’ATAKUM JAMII’AN…KULLU ‘AM WA ANTUM BIKHAIR…SALAM ‘IDUL FITRI DAN MOHON MAAF ATAS APA JUA SALAH & SILAP…wajazaakumullahu khairal jaza’.
Dicatat oleh Abu Haseef di 10:34 0 ulasan



HUKUM SOLAT JUMAAT PADA HARI RAYA
Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, sama ada 'Idul Fitri mahupun 'Idul Adha. Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf Al A`immah karya Imam Sadr al-Din Abu Abdullah Muhammad bin Abdul Rahman Ad Dimasyqi al-Syafi’iy, disebutkan bahawa :


“Apabila hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam Asy Syafi’i yang sahih, bahawa solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kampung yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi orang yang datang dari kampung lain, gugur Jumaatnya. Demikian menurut pendapat Imam Asy Syafi’i yang sahih. Maka jika mereka telah solat hari raya, boleh bagi mereka terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, bagi penduduk kampung wajib solat Jumaat. Menurut Imam Ahmad, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang mahupun orang yang ditempati solat Jumaat. Kewajiban solat Jumaat gugur sebab mengerjakan solat hari raya. Tetapi mereka wajib solat Zuhur. Menurut ‘Atha`, Zuhur dan Jumaat gugur bersama-sama pada hari itu. Maka tidak ada solat sesudah solat hari raya selain solat Asar.”


Ad Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menyatakan pendapat Imam Malik sama dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Disebutkannya bahawa,“Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat,”Jika berkumpul hari raya dan Jumaat, maka mukallaf dituntut untuk melaksanakannya semuanya….”


Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah bahawa dalam masalah ini terdapat empat pendapat :


Pertama, solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kota (ahlul amshaar / ahlul madinah) yang di tempat mereka diselenggarakan solat Jumaat. Sedang bagi orang yang datang dari kampung atau padang gurun (ahlul badaawi / ahlul ‘aaliyah), yang di tempatnya itu tidak dilaksanakan solat Jumaat, gugur kewajiban solat Jumaatnya. Jadi jika mereka –yakni orang yang datang dari kampung — telah solat hari raya, boleh mereka terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam Syafi’i. Ini juga pendapat Uthman dan Umar bin Abdul Aziz.


Kedua, solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, baik oleh penduduk kota yang ditempati solat Jumaat mahupun oleh penduduk yang datang dari kampung. Ini pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Jadi, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur dengan ditunaikannya solat hari raya.


Ketiga, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang mahupun bagi orang yang ditempati solat Jumaat. Tetapi mereka wajib solat Zuhur. Demikian pendapat Imam Ahmad.


Keempat, Zuhur dan Jumaat sama-sama gugur kewajibannya pada hari itu. Jadi setelah solat hari raya, tak ada lagi solat sesudahnya selain solat Asar. Demikian pendapat ‘Atha` bin Abi Rabbah. Dikatakan, ini juga pendapat Ibnu Zubayr dan ‘Ali.


Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pendapat yang rajih (kuat) adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, rahimahullah. Perinciannya hukumnya adalah seperti berikut:


Hukum Pertama, jika seseorang telah menunaikan solat hari raya -yang jatuh bertepatan dengan hari Jumaat- gugurlah kewajiban atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Dia boleh melaksanakan solat Jumaat dan boleh juga tidak. Antara dalilnya adalah hadith Zayd bin Arqam r.a. bahawa dia berkata : “Nabi SAW melaksanakan solat Ied (pada suatu hari Jumaat) kemudian beliau memberikan rukhshah (kemudahan/keringanan) dalam solat Jumat. Kemudian Nabi berkata, “Barangsiapa yang berkehendak (solat Jumaat), hendaklah dia solat.” (HR. Al Khamsah, kecuali At Tirmidzi. Hadith ini menurut Ibnu Khuzaimah,sahih).


Hukum Kedua, bagi mereka yang telah menunaikan solat hari raya tersebut, lebih utama dan disunnahkan tetap melaksanakan solat Jumaat. Dalilnya adalah hadith Abu Hurayrah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Innaa mujammi’uun” (Dan sesungguhnya kami akan mengerjakan Jumaat). Ini menunjukkan bahwa walaupun Nabi SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhshah, yakni boleh dikerjakan dan boleh tidak, akan tetapi Nabi Muhammad SAW faktanya tetap mengerjakan solat Jumaat.


Hukum Ketiga, jika orang yang telah menunaikan solat hari raya tersebut memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, wajib melaksanakan solat Zuhur, tidak boleh meninggalkan Zuhur.


Hukum Keempat, mereka yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya, wajib atasnya untuk menunaikan solat Jumaat, tidak dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat Jumaat.


Walaubagaimanapun penulis berpandangan, bagi keluar daripada khilaf (perselisihan pandangan) di kalangan ulama, adalah lebih afdhal untuk tetap menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut bagi sesiapa yang tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk hadir ke masjid. Realiti atau waqi’ juga cenderung kepada kewajipan menunaikan solat Jumaat berdasarkan kemudahan untuk menemui masjid di mana sahaja kita berada di samping kemudahan lain seperti kenderaan. Wallahu a’lam.

No comments: