Sunday, June 14, 2009

Yang Bernyawa Pasti Merasai Kematian

Jenazah Muhamad Ammar sedang ditimbang di Bahagian Kargo Lapangan Terbang Kaherah sebelum diterbangkan ke Malaysia


Firman Allah Taala: كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ [آل عمران:185(Setiap yang bernyawa pasti merasai mati). Demikianlah Al-Quran telah menanam dalam diri setiap dari kita satu keyakinan bahawa kematian pasti mendatangi, lambat atau cepat, kira bersedia atau tidak. Ia pasti datang, tepat pada saat ketikanya: فَإِذَا جَاء أَجَلُهُمْ لاَ يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلاَ يَسْتَقْدِمُونَ [الأعراف:34]. Pada 10 Jun yang lepas masyarakat Malaysia di Mesir dikejutkan dengan berita kemalangan kereta yang melibatkan lima penuntut Kuliah Perubatan Universiti Kaherah tajaan JPA. Kelima-lima sahabat ini dikatakan dalam perjalanan pulang dari Ain Sukhna setelah meninjau kawasan untuk program cuti musim panas apabila kenderaan yang dinaiki gagal dikawal dan melanggar sebuah batu besar di tepi jalan. Kejadian berlaku sekitar jam 8.30 malam. Akibat rempuhan tersebut, kereta terbabit melambung dan terhempas beberapa kali menyebabkan penumpang di belakang tercampak keluar. Salah seorang penumpang belakang Muhamad Ammar Zulkifli meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah di kepala, sementara dua orang yang lain Akram Abd Kadir dan Abd Rahman Ramzan berada dalam keadaan koma. Walau bagaimanapun pemandu kenderaan, Saif Jamaluddin, dan penumpang di bahagian hadapan Fitri hanya cedera ringan. Kesemua mangsa dibawa ke hospital Suez sebelum dipindahkan ke Hospital Faransawi Qasrul Aini Kaherah.
Jenazah Muhamad Ammar telah dikafankan di Hospital Italia dan disolatkan di DMAK sebelum diterbangkan ke Malaysia melalui penerbangan Egypt Air pada 13 Jun 2009 jam 4.50 dan tiba di KLIA jam 10.15 malam. Jenazah kemudian dibawa ke rumah keluarga Allahyarham untuk dikebumikan di Taman Bertam Indah Kepala Batas Pulau Pinang dengan menaiki van. Sama-sama kita mendoakan agar Muhamad Amar ditempatkan bersama para solehin, dan kedua-dua sahabatnya diberi kesembuhan yang segera. Amin

No comments: